Wednesday, March 10, 2010

"Lukiskan aku hati ibuku"-Ardo

Di dalam sebuah pekan yang kecil. Wujud seorang budak lelaki yang bijak dan baik budinya. Ardo. Ardo tinggal bersama-sama ayah dan ibunya yang merupakan sebuah keluarga peniaga lukisan dan bunga-bungaan.

Ardo mempunyai seorang sahabat yang akrab dengannya. Geo. Seorang pelukis handalan dan sangat masyur di pekan tersebut. Dia merupakan seorang pemuda kacak yang mampu melukis sebuah lukisan yang indah. Sesiapa yang melihat lukisannya, mampu menangis. Sesiapa yang melihat lukisannya mampu tertawa. Sesiapa yang melihat lukisannya mampu merasai kedamaian. Begitulah kehabatan karya hasil lukisan tangan Geo. Dia mampu menghidupkan yang fantasi. Dia mampu mengzahirkan yang tersembunyi di dalam lukisannya.

Ardo sangat akrab dengan Geo. Dia sangat mengagungkan karya pemuda yang kacak itu. Malah setiap hari selepas membantu ibunya menjual bunga dan lukisan, Ardo pasti berkunjung ke pondok Geo di dalam rimba yang penuh dengan bunga mawar putih.

Pada suatu hari, ketika bersiar-siar bersama-sama ibunya, Ardo terlihat akan ayahnya di sebuah tasik. Kelihatan ayahnya sedang bercubuan dan bermesra bersama-sama seorang gadis. Ardo tidak mengerti. Dia masih terlalu mentah untuk menilai dan mengkaji. Lantas Ardo menerpa ibunya dan menunjukkan jari ke arah ayahnya dan gadis tersebut. Sebaik sahaja melihat ke arah tasik itu, ibu Ardo menjadi kaku. Tanpa disedari, ibunya menitiskan air mata dengan deras. Ibunya lantas menarik tangan si kecil itu dan pulang ke rumah mereka di taman bunga lavendar.

Ardo begitu hairan dan terkedu melihat ibunya tidak berhenti menangis dan teresak-esak. Dia bertanya kepada ibunya, "Mengapa ibu menangis?". Ibunya merenung ke dalam mata si kecil itu lantas terus memeluk tubuh comel Ardo dan terus menitiskan air mata. Ardo bertambah hairan. Setahunya, seseorang akan menangis apabila dia merasa kesakitan. Ianya kerana Ardo hanya akan menangis apabila dia berasa sakit akibat luka di jari tercucuk duri bunga mawar yang dijual mereka. "Adakah jari ibu terluka? Tidak nampak apa-apa luka pun pada jari dan badan ibu?" Si kecil itu tersangat hairan.

Segara Ardo berlari ke dalam rimba bunga mawar putih. Sebaik sahaja sampai di pondok Geo, Ardo meminta pemuda itu memberikan jawapan akan pertanyaan dan kehairanannya. Geo meminta si comel itu menceritakan mengenai apa yang telah berlaku sebelum ibunya menangis tidak berhenti. Geo memandang ke dalam mata kebiruan Ardo dengan tenang.Lalu dengan nafas yang tersekat-sekat, Ardo menceritakan peristiwa di tasik tersebut.

"Geo, bolehkah kau memberikan aku jawapan mengenai hal ini melalui lukisan kau?". Pinta Ardo. "Geo, bolehkah kau lukisankan apa yang ibu rasakan ketika ini?". Ardo berharap lukisan yang bakal Geo lukiskan mampu memberikan jawapan terhadap pertanyaan dan kehairanannya itu.

Sebaik sahaja Geo mendengar cerita daripada Ardo itu, dia terdiam. Dia tergamam dan tidak mampu berkata apa-apa. Jari jemarinya tiba-tiba kaku untuk melukiskan gambaran hati dan perasaan wanita yang bergelar ibu kepada si kecil Ardo. Untuk kali pertamanya Geo tidak mampu mengzahirkan apa yang tersembunyi melalui lukisannya. Geo mencampakkan berus lukisannya lantas memeluk Ardo dengan erat dan membisik ke telinga Ardo, " Ardo, aku tidak mampu untuk menggambarkan hati dan perasaan ibumu kala ini!. Ia tidak terzahir walau dengan apa-apa pun. Hanya ibu mu sahaja merasa kesakitan yang tidak terlihat oleh mata!"
by:Perro

No comments:

Post a Comment